Isnin, 26 November 2012

Tarbiyah Ibu dan Anak

Bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.
Tarbiyah anak-anak, perlu daripada awal usianya. Tetapi, untuk melahirkan anak- anak yang hebat, perlulah disediakan ibunya yang hebat dahulu.

Berdasarkan kajian dalam bidang perubatan, indeks kesakitan dan kematian yang berlaku selepas bersalin dapat dikurangkan dalam jumlah angka yang banyak dengan adanya program pendedahan yang baik kepada bakal-bakal ibu dengan ilmu perbidanan yang baik. Sebagai contohnya, para ibu perlu tahu nutrisi seimbang yang diperlukan oleh seorang ibu yang mengandung. Mereka perlu mengambil makanan yang diperlukan oleh tubuh badan mereka dan bayi mereka. Para ibu perlu tahu, pertambahan berat badan sebanyak 10 hingga 15 Kg adalah diperlukan semasa mengandung.

Persediaan mental dan fizikal amatlah penting untuk seorang wanita dalam menyediakan dirinya menerima kehadiran orang baru dalam hidupnya. Apatah lagi masa hadapan orang baru ini amat-amat bergantung kepadanya.

Segala tindak-tanduk para ibu, semasa dan selepas bersalin, hatta sebelum terciptanya bayi ini dalam rahimnya akan memberi kesan kepada tumbesaran bayi ini. Kalau kita lihat, ada kajian mengatakan para ibu yang mengandung dan mendengar muzik sentimental dapat menggalakkan kadar peningkatan IQ bayi. Maka, sudah tentu segala tindak tanduk para ibu dapat memberi kesan kepada bayi. Andai ibunya sentiasa membaca al-quran, pasti bayi juga dapat mendengarnya dan sudah terbiasa dengan kalam-kalam Pencipta semenjak sebelum dia dilahirkan ke dunia.

Apa pula akan jadi kalau si ibu sentiasa menghabiskan masa-masa senggang ketika mengandung dengan perkara-perkara sia-sia, seperti menonton movie dan bermain games. Pasti tabiat ini juga akan menjejaskan bayinya.

Kita lihat keadaan  para remaja sekarang dan apa yang dilakukan oleh mereka sewaktu masa senggang mereka. Sedangkan para remaja permpuan inilah yang bakal menjadi para ibu, dan melahirkan generasi seterusnya. Generasi harapan untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Maka, untuk melahirkan generasi yang benar-benar bermutu tinggi, yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah, perlulah mengubah generasi para ibu mereka. Kata pepatah itu sangat benar, dan mungkin sebelum benih rebung ditanam, pilihlah benih dari baka yang baik dan keadaan tanah yang subur juga perlu diambil kira. Barulah menghasilkan buluh yang bermutu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan