Selasa, 27 November 2012

Ibu Bapa Mereka Lebih Berhak Kau Dahulukan

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)“. [Al-Isra’: 24]

Berdasarkan ayat 24 surah Al-Isra’, seorang anak diperintahkan untuk merendahkan diri mereka dihadapan ibu bapa. Allah memerintahkan hambanya untuk tunduk dan patuh pada suruhan ibu bapa selagi mana suruhan itu tidak bercanggahan dengan syariat islam. Pada akhir ayat ini juga, orang mukmin diajar satu doa yang sangat besar maknanya untuk kita tafsirkan serta lafazkan setiap hari.

Realiti kehidupan kita
Semenjak kita dilahirkan, kita dibesarkan oleh ibu bapa dengan penuh kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh. Menyusuri zaman kanak-kanak, tanpa kita sedari, pelbagai pengajaran dan pelajaran telah dititipkan oleh ibu dan bapa sepanjang tempoh mengenal dunia. Setelah menjangkau 5 tahun, kita mula bersekolah. Ibulah orang yang menanti kita ditepian tinta bersama senyuman penuh sokongan agar tidak tertitis air mata anaknya yang baru melangkah kealam persekolahan. Melangkau kealam sekolah rendah, kita semakin berani, rakan-rakan menjadi ramai, sekolah menjadi lebih menarik dan ibu, masih di sini, setia menanti di tepian dipagar setiap jam 1 tengah hari.

UPSR menjanjikan tiket untuk bergelar budak asrama. Hati si ibu berasa syukur pabila perihal anaknya ditanya teman-teman di pejabat dan jiran tetangga, tetapi dalam hati seorang ibu, terasa risau, gelisah dan tidak keruan melihat pemergian anak kesayangan dari sisinya buat pertama kalinya. Zaman asrama bermula, hubungan kian merenggang, rakan-rakan kita utamakan, dan ibu, setiap minggu menanti panggilan anak kesayangan di tempat orang. Apabila cuti sekolah bermula, kita pulang. Bukan jasa bakti yang kita berikan, malah itu ini yang kita pinta ibu tunaikan. Dengan penuh kasih sayang, ibu dengan girang hanya mengiakan segala kehendak anak kesayangan dan berkata, “Nanti ibu buat ya. Tidurlah lama sikit, penat anak ibu belajar kat asrama…”

SPM kita hadapi dengan mudah berkat doa, tangisan dan rintihan ibu siang dan malam memohon tuhan agar dipermudahkan segala urusan. Alhamdulillah, result bukan calang-calang, kita sudah mula pandai celebrate dengan rakan-rakan, dan ibu? Di mana kita letakkan? Hati kecil berdesis mahu meraikan kegembiraan bersama si ibu, dan dalam pada itu, ada suara yang membujuk berkata, “Tak apa, dah telefon tadi cakap result ok…”

Hari berganti hari, anak kesayangan ditawarkan melanjutkan pelajaran keluar negara. Hati ibu riang berbunga, tapi jauh di sudut hati kecilnya, sekali lagi, naluri keibuan tersentak, anak tersayang akan diragut jauh sekali lagi atas nama pendidikan. Kasihnya ibu pada si anak sanggup memujuk hati, “Tak apa, ibu relakan demi masa depan anakku yang gemilang.”
Hari berganti hari, tahun berganti tahun, hidup kita di perantauan tetap sama, setiap hari disibukkkan dengan kelas dan hujung minggu dipenuhi dengan aktiviti bersuka ria disamping teman-teman yang ramai di luar negara. Ijazah luar negara yang kita janjikan pada ibubapa tidak kita ambil berat, pada kita, “asal pass sudey!” Berapakah harga pengorbanan seorang ibu yang kita letakkan? Cukupkah hanya dengan nilai lulus takat hidung? Patutkah semurah itu kita dagangkan pengorbanan seorang bernama IBU?

Sama-sama kita renungkan…
Dalam satu hadisnya Nabi Muhammad SAW bersabda:
Menurut Abu Hurairah RA telah diceriterakan :“Datang seorang laki-laki kepada Rasulullah SAW menanyakan : “Siapakah orang yang lebih berhak untuk saya berbuat baik padanya?” Jawab Nabi : “Ibumu.” Tanya laki-laki: “Sesudah itu siapa ?” Jawab Nabi : “Ibumu.” Tanya laki-laki :”Sesudah itu Siapa?” Jawab Nabi : “Ibumu.” Tanya laki-laki : “Sesudah itu siapa?” Jawab Nabi : “Sesudah itu Bapamu”.

Menerusi hadis ini sudah terang lagi jelas bahawa ibu bapa terutamanya ibu mempunyai hak yang amat tinggi terhadap diri dan masa kita. Sewajarnya, sebagai anak kita perlulah cuba sedaya upaya untuk membalas jasa ibu bapa sementara peluang yang diberi Allah masih terbuka untuk kita menyemai bakti pada kedua ibu bapa.

Formula menjadi anak yang soleh dan solehah
Jadi apa tunggu lagi, marilah kita berusaha untuk merebut gelaran sebagai anak soleh dan solehah agar dengan harapan dapat emmberikan sedikit kegembiraan bagi kedua insan yang telah banyak menyumbang bakti pada diri kita.

1) Sentiasa berdoa akan kesejahtaraan ibu bapa di dunia dan di akhirat
Ayat diatas telah memberi satu contoh doa yang patut kita sisipkan pada setiap hari terutamanya setelah selesai solat.

2) Menyenangkan hati ibu dan bapa
Marilah sama sama kita berusaha untuk mencapai ciri qurrata a’yun (penyejuk mata) bagi kedua ibu bapa kita seperti yang disebut dalan Al-quran, Suratul Furqan, ayat 74. Ini dapat praktikkan dengan beberapa cara seperti:

  • Memiliki akhlak dan budi pekerti yang terpuji
  • Menjaga nama baik ibu bapa
  • Menghormati rakan-rakan ibu dan bapa
  • Member hadiah pada ibu dan bapa terutamanya pada ulang tahun keraian kita sebagai tanda terima kasih kita atas penat lelah ibu bapa kita melahirkan, membesarkan dan memndidik kita hingga ke saat ini.
 3) Sentiasa merendahkan diri dihadapan mereka

  • Membantu ibu bapa. Untuk menjadi anak yang soleh, kita perlulah meluangkan masa unutk membantu ibu dan bapa meskipun tidak sekali mereka meminta bantuan kita. Jangan sekali-kali kita merasa bahawa bakti yang kita alkukan adalah cukup unutk menebus segala pengorbanan yang dilakukan oleh ibu dan bapa.
  • Sentiasa berhubung dan bertanya khabar mereka jika tinggal berjauhan
  • Memohon maaf jika berlaku sebarang perselisihan faham meskipun kita yakin kita berada di pihak yang benar.

Ingatlah, Suatu hari nanti kita akan menjadi ibu dan bapa!

Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan